mutakhir

2 bekas pegawai E-Idaman didakwa rasuah [METROTV]

Oleh M Hifzuddin Ikhsan

Alor Setar: Dua bekas pegawai kanan syarikat pengurusan sisa pepejal Enviroment Idaman (E-Idaman) didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tuduhan rasuah pada 2017 dan 2018.

Tertuduh, Mhd Saiful Anuar Zainal, 51, dan Azmi Amin Sarji, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mengikut pertuduhan bersama pertama, Mhd Saiful selaku Ketua Pegawai Eksekutif dan Azmi selaku Ketua Pegawai Operasi dituduh dengan niat memperdaya majikan mereka apabila mengesahkan pembayaran RM426,935.14 kepada syarikat Syumul I.Nur Sdn Bhd sedangkan tiada perkhidmatan dilakukan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka secara bersama dituduh dengan niat secara rasuah menerima suapan wang tunai RM170,000 sebagai dorongan meluluskan pembayaran kepada syarikat Azhar Prestige Enviromet Sdn Bhd sedangkan tiada kerja dilakukan.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Wisma Idaman, Bandar Stargate, Lebuhraya Sultanah Bahiyah antara 8 hingga 9 Mei 2017 dan 19 Februari 2018.

Bagi pertuduhan berasingan, Azmi dituduh dengan niat memperdaya majikannya apabila mengesahkan pembayaran RM149,787.06 kepada syarikat Abiwatan Sdn Bhd sedangkan tiada perkhidmatan dilakukan.

Azmi turut dituduh dengan niat secara rasuah menerima suapan wang tunai RM181,177 sebagai dorongan meluluskan pembayaran kepada syarikat Dinamik Fhin Jaya Sdn Bhd sedangkan tiada kerja dilakukan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Wisma Idaman, Bandar Stargate, Lebuhraya Sultanah Bahiyah pada 20 Februari dan 4 Jun 2018.

Bagi semua pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Tan Sew Ping manakala Mhd Saiful diwakili peguam Muhamad Samsul Nizam Sohhimi dan Azmi diwakili peguam Shamsul Sulaiman.

Murtazadi kemudian membenarkan Mhd Saiful diikat jamin RM40,000 manakala Azmi, RM80,000, berserta seorang penjamin selain mengarahkan kedua-duanya menyerahkan dokumen perjalanan serta perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kedua-dua tertuduh kemudian membayar wang ikat jamin masing-masing.

Disiarkan pada: December 15, 2020 @ 3:45pm
d