mutakhir

Bersyukur, isteri banyak membantu

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Kehilangan tangan kiri ketika menunggang motosikal apabila terbabit dalam kemalangan jalan raya dengan lori kira-kira 21 tahun lalu bukan sesuatu yang mudah untuk diterima sebagai kenyataan oleh Mohamad Isa A Rahman.

Mohamad Isa yang turut koma selama tiga hari di wad hospital, bagaimanapun perlu akur apabila menyedari tangan kirinya sudah tiada dan menganggap segalanya sudah ditakdirkan Tuhan.

Di sebalik kekurangan diri, tersembunyi kelebihan kerana Mohamad Isa, 45, yang pernah menjadi pemandu lori sebelum berhenti kerja kini menjalankan perniagaan dengan membuka warung menjual makanan dan minuman.

"Memang besar cabaran sebagai orang kurang upaya (OKU) kerana kebanyakan majikan tidak yakin untuk mengambil saya sebagai pekerja. Buktinya saya pernah menghadiri sesi temuduga kerja tetapi gagal disebabkan faktor fizikal.

"Namun, saya pernah diberi peluang bekerja sebagai pemandu lori sebelum berhenti, kira-kira enam tahun lalu.

"Saya kemudian mula berniaga dengan menumpang di tapak niaga milik seorang individu untuk tiga tahun pertama, sebelum membuka warung sendiri di lokasi lain," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohamad Isa yang menetap di Taman Nenas 2, Kampung Keladi, Kulim, Kedah tidak berseorangan kerana dibantu isterinya, Suriyani Mohamad, 37, di warung yang dibuka bermula 7 pagi hingga 1 tengah hari setiap hari kecuali Jumaat.

"Warung saya menjual minuman dan makanan untuk sarapan pagi seperti nasi lemak, mi goreng, bihun goreng, nasi campur, roti bakar dan telur separuh masak.

"Saya akan menyediakan minuman, manakala isteri pula membantu menyediakan makanan dan mengambil pesanan pelanggan.

"Alhamdulillah, perniagaan kami diterima baik walaupun sedikit terjejas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu," katanya.

Buat masa ini, Mohamad Isa berniaga sepenuh masa dan bersyukur kerana dapat menyara keluarga dengan keuntungan hasil perniagaannya.

"Sebagai ketua keluarga, saya bertanggungjawab menyediakan keperluan anak dan isteri walaupun ada kekurangan.

"Mujurlah, isteri sedia membantu malah dia menerima saya dengan seadanya sejak awal perkenalan lagi kerana saya sudah bergelar OKU sebelum kami berumah tangga.

"Lebih baik usaha sendiri untuk mencari rezeki dan saya percaya ramai OKU di luar sana yang berdikari, malah berjaya dalam bidang masing-masing tanpa mengharap belas ihsan semata-mata," katanya.

Kisah bapa tiga anak itu mendapat perhatian seorang pemuda, Mohamad Farid Yusoff, 31, yang berkongsi pengalamannya bertemu dengan Mohamad Isa menerusi ciapan di Twitter.

Disiarkan pada: December 15, 2020 @ 4:05pm
d