mutakhir

Keluarga hairan tindakan polis siasat punca kematian Adib

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim hairan dengan tindakan polis yang masih menyiasat punca kematian arwah sedangkan Mahkamah Koroner sudah membuat keputusan mengenainya.

Bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, berkata, siasatan seharusnya menjurus kepada mencari penjenayah yang menyebabkan kematian Adib selepas dua tahun kejadian itu berlaku.

"Kenapa masih hendak siasat punca kematian Adib, adakah mereka tidak percaya kepada keputusan Mahkamah Koroner? Ahli keluarga sekarang cuma nak tahu siapa pelaku yang sebabkan kematian anak saya.

"Saya dan isteri sudah lama bersabar demi melihat sendiri wajah pelaku yang menyebabkan kematian anak kami. Tetapi sampai sekarang kerajaan masih hendak siasat penyebab kematian Adib?

"Bukankah keputusan inkues yang lepas sudah jelas mengatakan bahawa kematian Adib disebabkan perbuatan jenayah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Kassim berkata, mahkamah sebelum ini juga sudah mengeluarkan arahan untuk menyiasat dan mencari individu yang menjadi penyebab kematian Muhammad Adib.

Katanya, semua fakta, bukti dan dokumen yang dibawa ke Mahkamah Koroner sepatutnya dapat membantu dalam melakukan siasatan bagi mencari penjenayah terbabit.

"Saya bukan cakap kosong, saya cakap berdasarkan keputusan Mahkamah Koroner, bukan seorang saksi yang tampil beri penerangan sepanjang inkues itu, semua bukti sudah ada.

"Jadi sudah-sudah buang masa, hendak tangguh sampai bila? Kami ahli keluarga semua berpegang pada keputusan inkues itu dan kami harap kerajaan cari pelaku secepat mungkin," katanya.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat berkata, hasil siasatan terhadap penyebab kematian Muhammad Adib akan dimaklumkan tidak lama lagi.

Katanya, siasatan polis kini di peringkat akhir dan hasil siasatan akan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 17 Disember 2018 selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Pada 27 September 2019, Koroner Rofiah Mohamad memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Sepanjang prosiding inkues bermula Februari 2019, seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dan Mohd Kassim turut dipanggil memberi keterangan dengan 137 bahan bukti dikemukakan.

Disiarkan pada: December 15, 2020 @ 4:16pm
d