mutakhir

Pencuri diberkas selepas sebulan diburu

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Sekinchan: Curi apa sahaja termasuk wang syiling di dalam kereta yang dipecah masuk. Itu kegiatan seorang penagih dadah yang diberkas polis susulan serbuan dilakukan di rumahnya.

Suspek berusia 26 tahun itu yang memiliki rekod jenayah lampau tidak sempat melarikan diri apabila kediamannya di Kampung Sungai Labu, di sini, diserbu polis jam 11 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam berjaya menahan suspek yang dipercayai terbabit dalam jenayah pecah masuk kenderaan pada 11 November lalu.

Menurutnya, mangsa berusia 37 tahun sebelum ini mendakwa keretanya dimasuki individu tidak dikenali, kira-kira 8.30 pagi 11 November lalu.

"Hasil pemeriksaan mangsa mendapati sejumlah wang tunai dilarikan. Mangsa kemudian membuat laporan berhubung kejadian itu," katanya.

Agus Salim berkata, polis yang melakukan siasatan akhirnya berjaya memberkas suspek kelmarin.

"Hasil soal siasat dijalankan mendapati suspek mengaku melakukan kes mencuri wang di dalam kereta. Polis turut menemui pelbagai barang curi seperti jam tangan, seluar jeans, kemejaT termasuk wang tunai berjumlah RM201.

"Malah, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan turut memiliki pelbagai rekod lampau jenayah dan narkotik," katanya.

Agus Salim berkata, suspek direman bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 15(l) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Disiarkan pada: December 15, 2020 @ 5:41pm
d