mutakhir

Perlu iltizam kuat untuk perkenal Akta Lompat Parti

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Akta Lompat Parti yang dicadangkan untuk diperkenalkan di negara ini memerlukan iltizam politik yang kuat daripada parti pemerintah, kata penganalisis politik Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain.

Menurut beliau, sudah pasti, dengan akta berkenaan menyebabkan ada parti politik tertentu akan 'menang' dan 'kalah'.

"Jika parti politik yang mahu seseorang ahli parlimen melompat menyokong parti itu, sudah pasti berasa akta itu tidak sesuai.

"Manakala parti politik yang kehilangan ahli parlimen kerana melompat parti mahu akta ini dikuatkuasakan bagi mengelak lebih ramai yang bertindak serupa," katanya dihubungi Harian Metro hari ini.

Beliau berkata, pada situasi politik mutakhir hari ini, dapat dilihat seseorang ahli politik itu menjadikan parti sebagai 'kenderaan' untuk mencapai matlamat tertentu.

Katanya, keadaan itu menyebabkan nilai kesetiaan akan semakin pudar walaupun mereka diangkat rakyat sebagai ahli parlimen menerusi parti berkenaan.

"Saya lihat parti politik kini dijadikan kenderaan untuk seseorang itu mencapai matlamat yang diinginkan.

"Jika kenderaan (parti politik) itu dilihat menyukarkan matlamat dicapai, maka mereka tidak perlu menunggu lama untuk mencari kenderaan baharu," katanya.

Tambahnya, walaupun akta berkenaan masih jauh untuk direalisasikan namun desakan rakyat boleh menjadikan ia realiti.

Menurutnya, lompat parti kini dilihat sebagai budaya baharu politik negara namun harus diingat, rakyat semakin bijak menilai seseorang yang akan diangkat mewakili mereka di Dewan Rakyat.

Tinjauan yang dijalankan Cent-GPS, sebuah firma kajian sains politik mendapati, majoriti responden percaya krisis politik yang berlaku disebabkan ada ahli parlimen yang melompat parti.

Sebanyak 50 peratus bersetuju Akta Lompat Parti perlu diperkenalkan di Malaysia manakala 37 peratus mengatakan mungkin dan 12 peratus mengatakan tidak.

Disiarkan pada: December 15, 2020 @ 5:47pm
d