mutakhir

Duit derma surau kau rembat... [METROTV]

Oleh Ruwaida Md Zain

Klang: Tidak hanya mengopak empat peti derma di sebuah surau di sini, malah dua penjenayah turut melarikan sebuah peti besi sejurus menceroboh masuk surau itu awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 4.48 pagi itu, dua penjenayah berusia lingkungan 20-an dikesan muncul menaiki kereta Proton Saga Aeroback berhampiran Surau Baitul Rahman, Aman Perdana di sini.

Pengerusi surau, Abdul Salam Khamsah berkata, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pasang surau itu, dua lelaki dilihat memanjat masuk ke dalam kawasan surau menerusi pagar pencawang telekomunikasi sebelum menuju ke dewan utama solat.

Menurutnya, penjenayah kemudian meninjau kedudukan tabung surau serta memastikan tiada orang lain di sekitar surau sebelum cuba mengumpil peti sumbangan pertama jam 5.03 pagi.

"Penjenayah mulanya menggunakan kaedah 'kait' untuk mengeluarkan wang melalui lubang pada dua peti yang dilekatkan di lantai namun tidak berjaya mengeluarkan kesemua wang di dalamnya.

"Bagaimanapun peti derma ketiga dan keempat dipecahkan dan semua wang di dalamnya dilarikan," katanya ketika dihubungi wartawan tadi.

Menurutnya, suspek kemudian mencabut peti derma kelima yang diletakkan di dinding surau.

"Mungkin menyedari siak surau sudah tiba untuk melaungkan azan Subuh, suspek bertindak membawa bersama peti sumbangan itu dan melarikan diri sekitar jam 5.32 pagi," katanya.

Abdul Salam berkata, kejadian seumpama itu adalah pertama kali berlaku sejak surau itu dibina pada tahun 2012.

"Kami anggarkan kerugian bernilai RM3,000. Kali terakhir bendahari surau membuat kutipan pada tabung berkenaan adalah seminggu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor bermula pada Oktober lalu.

"Laporan polis sudah dibuat jam 9.52 pagi tadi," katanya.

Disiarkan pada: December 15, 2020 @ 8:04pm
d