mutakhir

Dituduh terima rasuah RM5,000 bagi projek dewan sekolah

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Seorang kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, tadi, atas empat pertuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah keseluruhan sebanyak RM5,000, antara Februari hingga Mei 2013.

Tertuduh, Abdul Halim Abdullah, 44, memahami pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan, Abdul Halim yang bertugas sebagai juruteknik bangunan didakwa menerima suapan wang tunai RM5,000 secara berperingkat menerusi akaun bank miliknya.

Suapan itu sebagai upah bagi pemantauan kerja dan menyediakan ringkasan tuntutan interim bulanan bagi sebuah syarikat yang melakukan projek pembinaan sebuah Dewan Badminton di Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Negeri Sembilan.

Dia didapati melakukan kesalahan itu di Maybank Cawangan Kuala Klawang Jelebu Negeri Sembilan antara 8 Februari hingga 7 Mei 2013.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zainab Yahaya, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, Abdul Halim meminta mahkamah menetapkan ikat jamin rendah kerana perlu menanggung keluarga termasuk dua orang anak selain dia menghadapi masalah kesihatan.

"Saya juga akan memberikan kerjasama penuh dengan pihak Mahkamah bagi perbicaraan kes ini," katanya.

Madihah kemudian membenarkan Abdul Halim diikat jamin RM10,000 dan menetapkan 21 Januari 2021 bagi sebutan semula kes.

Disiarkan pada: December 16, 2020 @ 12:11pm
d