mutakhir

Vaksin Covid-19: Wajar utamakan guru selepas frontliners

Oleh Nor Haidya Syafira Amir

Kuala Lumpur: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) menyokong saranan Pengarah Eksekutif Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Henrietta Fore yang mengesyorkan guru antara golongan yang diberikan keutamaan untuk memperoleh vaksin Covid-19 selepas petugas barisan hadapan.

Menurutnya, NUTP sependapat dengan pihak UNICEF bagi memberi perlindungan kepada warga guru agar dapat meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan kadar segera.

"Ini akan membantu melindungi guru daripada jangkitan virus, sekali gus membolehkan mereka mengajar secara bersemuka dan sekolah terus dibuka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut UNICEF, ketika kemuncak gelombang pertama pandemik itu pada akhir April lalu, penutupan sekolah menjejaskan pembelajaran hampir 90 peratus pelajar di seluruh dunia.

Ketika ini, menurut UNICEF lagi, kelas masih tutup kepada hampir satu bagi setiap lima pelajar sekolah di seluruh dunia atau 320 juta kanak-kanak.

Selain itu, sesi pembelajaran secara dalam talian mempunyai banyak kelemahan seperti peranti dan gajet yang tidak mencukupi, kelemahan jaringan Internet, masalah disiplin, dan kehadiran pelajar yang menyebabkan sesi PdP ini terganggu.

"Langkah ini bagi memastikan murid sekolah tidak terus tercicir dan sesi persekolahan dapat dibuka semula," kata kenyataan itu.

Katanya, NUTP memohon pertimbangan khas pihak Kementerian Kesihatan dan kerajaan agar memberikan keutamaan kepada warga pendidik untuk memperoleh vaksin Covid-19 demi meningkatkan dan memperkasakan sistem pendidikan di Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 16, 2020 @ 1:35pm
    d