mutakhir

Pasangan kekasih edar syabu

Oleh Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Polis merampas syabu seberat 24.69 gram bernilai RM2,469 daripada sepasang kekasih di sebuah bilik sewa di Asia City di sini, jam 5.29 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kedua-dua suspek berusia 29 tahun dan serbuan dijalankan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

"Suspek wanita adalah warga tempatan manakala suspek lelaki adalah warganegara asing. Mereka adalah dalang pengedaran dadah di daerah ini.

"Hasil siasatan, suspek wanita memainkan peranan untuk mendapatkan bekalan dadah di Lahad Datu sebelum diberikan kepada suspek lelaki untuk dijual," katanya pada kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun.

"Kedua-dua suspek kini direman untuk membantu siasatan," katanya.

Disiarkan pada: December 16, 2020 @ 5:40pm
d