mutakhir

Misteri 'jeritan' kambing dari longkang [METROTV]

Oleh Nazri Abu Bakar

Alor Gajah: Tiga hari terperangkap di dalam longkang. Itu nasib seekor kambing jantan sebelum diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Alor Gajah petang tadi.

Kambing baka tempatan itu dikatakan terjatuh ke dalam longkang besar sedalam lima meter di belakang sebuah pasar raya, di sini.

Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Pertahanan Awam Daerah (PPAD), Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, pihaknya menerima aduan awam jam 2.45 petang.

Katanya, sepasukan lima anggota diketuai Sarjan Khairul Affendi Abd Aziz tiba di lokasi sebelum melakukan operasi mengesan kambing itu.

"Keadaan longkang yang dalam menyebabkan kambing itu gagal melepaskan diri.

"Anggota saya terpaksa merangkak di dalam longkang itu sebelum menangkap kambing seberat kira-kira 15 kilogram menggunakan tali. Kambing iotu kemudian berjaya dikeluarkan dari dalam longkang itu," katanya.

Sementara itu, pengadu yang mahu dikenali sebagai Hung Huei berkata, dia berasa pelik apabila mendengar bunyi jeritan kambing dari arah belakang pasar raya tempat dia bekerja.

"Saya terkejut apabila mendapati seekor kambing terperangkap di dalam longkang sebelum menghubungi pihak APM," katanya.

Disiarkan pada: December 16, 2020 @ 7:21pm
d