mutakhir

Terperangkap dalam kereta di stesen minyak

Oleh Ahmad Ismail.

Segamat: Anggota bomba dan penyelamat mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan kanak-kanak yang terperangkap dalam Proton Pesona bapanya di sebuah stesen minyak di Taman Gemerih, Jalan Muar, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, Mohd Farish Ikhmal Mohd Fadil Helmi berusia setahun berada di tempat duduk penumpang hadapan kereta yang dimatikan enjin ketika bapanya berumur 27 tahun keluar mengisi minyak manakala ibunya ke kedai serbaneka berhampiran.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Segamat, Penolong Penguasa Bomba Mohd Hazim Abd Razak berkata, enam anggota bersama sebuah jentera ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

Beliau berkata, kanak-kanak itu mungkin tertekan kunci pintu dari dalam kenderaan.

Katanya, pihak bomba terpaksa mengumpil pintu kereta menggunakan peralatan khas.

"Kanak-kanak itu diserahkan kepada bapanya dalam keadaan selamat dan operasi terbabit tamat pada 7.40 malam," katanya.

Disiarkan pada: December 16, 2020 @ 9:59pm
d