mutakhir

Panggilan duka kehilangan tiga cucu

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Gombak: "Saya hubungi Aimi jam 5.10 petang namun panggilan disambut pegawai polis yang memaklumkan mereka kemalangan," kata Abdul Rahim Sidek, 58, bapa kepada Nur Aimi Nadiah yang terbabit kemalangan di Kilometer 272.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, petang tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 3 petang itu, Nur Aimi Nadiah, 27, cedera parah manakala tiga anaknya, Muhammad Adam Hakimi Muhammad Alhafis, 7; Muhammad Lutfi Hakim, 3, dan Muhammad Affan Hafiy, 1, maut di lokasi kejadian selepas Perodua Axia dipandu terbabas dan melanggar belakang treler di laluan kecemasan.

Abdul Rahim berkata, Nur Aimi Nadiah bersama tiga cucunya baru pulang ke kampung di Kampung Bukit Nibong, Melaka.

Katanya, empat beranak itu dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang kerana Nur Aimi bekerja di negeri itu.

"Sebelum bergerak pulang ke Pulau Pinang, mereka ceria selepas bercuti di kampung," katanya kepada Harian Metro.

Mereka sekeluarga tinggal di Taman Seri Gombak sebelum berpindah ke Melaka lebih 15 tahun lalu.

Sementara itu, jiran mangsa, Fauziah Mohd Sabri, 50, terkejut selepas mengetahui kejadian yang menimpa bekas jirannya itu.

"Saya menjaga Aimi ketika masih kecil sebelum mereka sekeluarga berpindah ke Melaka.

"Sejak itu kami jarang bertemu dan perkhabaran ini memang mengejutkan," katanya.

Portal MyMetro hari ini melaporkan kemalangan membabitkan kereta dan dua lori di Kilometer 272.5 PLUS arah utara berhampiran Taman Rekreasi Gunung Lang dekat Ipoh, Perak.

Kemalangan berpunca daripada Perodua Axia terbabas sendiri lalu melanggar belakang treler yang berada di lorong kecemasan.

Bedah siasat akan dijalankan jam kira-kira 3 petang esok manakala Aimi masih menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.

Berita berkaitan

Hilang tiga anak serentak

3 kanak-kanak maut, kereta langgar lori

Disiarkan pada: December 17, 2020 @ 12:08am
d