mutakhir

Peruntukan RM30 juta feri Pulau Pinang [METROTV]

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Kerajaan meluluskan peruntukan RM30 juta bagi memastikan kelangsungan operasi perkhidmatan feri di Pulau Pinang.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan itu akan dibayar kepada Pelabuhan Pulau Pinang sebagai badan yang mengambil alih operasi perkhidmatan pengangkutan terbabit.

"Saya mengesahkan peruntukan itu seperti yang diluluskan akan dibayar secara dua ansuran membabitkan RM15 juta akan dibayar pada 2021 seperti diluluskan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021.

"Baki RM15 juta akan disediakan kerajaan. Kerajaan akan memastikan Pelabuhan Pulau Pinang disyaratkan untuk meneruskan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang ikonik dan berwarisan," katanya pada sesi penggulungan RUU Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Covid-19) 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu isu berkenaan dibangkitkan, Lim Guan Eng (PH-Bagan) ketika sesi perbahasan susulan pengumuman Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang bagi menggantikan perkhidmatan itu dengan bot penumpang laju berkuat kuasa 1 Januari hadapan.

Sementara itu menjawab pertanyaan sama Guan Eng, Tengku Zafrul berkata, sehingga kini kerajaan sudah membelanjakan RM38 bilion daripada RM45 bilion peruntukan di bawah Akta Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Covid-19) 2019.

"Kerajaan bercadang menambah peruntukan RM20 bilion lagi menjadikan jumlah itu meningkat kepada RM65 bilion.

"Ada lagi pelbagai inisiatif di bawah pakej rangsangan yang akan diumumkan nanti," katanya.

Katanya, jumlah itu adalah suntikan fiskal langsung selain pakej rangsangan bernilai RM305 bilion dan RM322.5 bilion yang diumumkan dalam Belanjawan 2021.

Disiarkan pada: December 17, 2020 @ 2:52pm
d