mutakhir

Majlis Jaksa Pendamai Kelantan bantu 1,700 individu memerlukan [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Majlis Jaksa Pendamai Kelantan (MJPK) mengagihkan sumbangan kepada 1,700 penerima di setiap jajahan di negeri ini membabitkan jumlah peruntukan RM370,000.

Naib Presiden 1 Majlis Jaksa Pendamai Kelantan Datuk Razali Daud berkata, sumbangan diagih melalui wakil Jaksa Pendamai (JP) di setiap jajahan bermula hari ini dan perlu diselesaikan selewat-lewatnya 24 Disember ini.

Katanya, bagi setiap jajahan, kira-kira 100 individu menerima bantuan berkenaan.

Bagaimanapun, di Kota Bharu, ia dibahagikan kepada lima zon memandangkan daerah berkenaan besar selain memfokuskan kepada kawasan nelayan seperti Pulau Kundor dan Kedai Buloh.

"Senarai penerima sumbangan ini sudah diwar-warkan sejak dua minggu lalu. Mereka dikenal-pasti oleh ahli MJPK yang dilantik sebagai wakil jajahan mengikut jajahan masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Bantuan Makanan Dan Wang Tunai Kepada Mangsa-Mangsa Covid-19 Kumpulan B40 Dan Pelajar-pelajar Daripada Keluarga B40.

Ia dirasmikan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan Datuk Abdullah Ya'kub di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu di sini.

Terdahulu, Abdullah melepaskan konvoi wakil-wakil di setiap jajahan yang menerima sumbangan untuk diagihkan kepada penerima.

Mengulas lanjut, Razali berkata, program sumbangan ini adalah kesinambungan daripada majlis iftar dan penyampaian zakat kepada golongan asnaf bersama Sultan Muhammad V yang diadakan pada setiap Ramadan.

"Purata peruntukan yang dikeluarkan setiap tahun untuk menyalurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan adalah antara RM500,000 hingga RM600,000.

"MJPK berfungsi sebagai badan yang menjalankan kerja-kerja amal dan kebajikan kepada mangsa bencana alam, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan sebagainya yang dititah serta dinaungi oleh Sultan Muhammad V.

"MJPK yang ditubuhkan sejak 42 tahun lalu kini mempunyai 131 ahli," katanya.

Sementara itu, Abdullah berkata, kerajaan negeri menyambut baik usaha MJPK dalam menabur bakti bagi membantu golongan memerlukan.

Disiarkan pada: December 17, 2020 @ 4:16pm
d