mutakhir

Pulau Pinang akan warta HSK sebagai kawasan tadahan air [METROTV]

Oleh BERNAMA

Georgetown: Pulau Pinang akan mewartakan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) seluas 3,790.54 hektar sebagai Hutan Tadahan Air di bawah Seksyen 10(1) (e) Akta Perhutanan Negara 1984.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, pada 2004, Kerajaan Pulau Pinang mewartakan kawasan seluas 6,288.295 hektar sebagai Kawasan Tadahan Air di bawah Enakmen Pembekalan Air (EPA) 1998, Perintah Pembekalan Air (Kawasan Tadahan) tahun 2004.

Beliau berkata, pewartaan kawasan tadahan itu meliputi Hutan Simpan Kekal seluas 3,565 hektar yang menyaksikan 70 peratus HSK di Pulau Pinang dikhususkan untuk perlindungan kawasan Hutan Tadahan Air sejak 2004.

"Pada 2 Disember lalu, mesyuarat MMK bersetuju mewartakan Hutan Simpanan Kekal sebagai Kawasan Hutan Tadahan Air di bawah Akta Perhutanan Negara (APN) 1984 di mana jumlah keluasan HSK untuk pewartaan ini turut bertambah sebanyak lima peratus yang mana terdapat Hutan Simpanan Kekal lain yang tidak diwartakan di bawah EPA 1998 pada 2004," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Chow berkata, Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang kini dalam proses membuat pewartaan dan dijangka selesai disiar warta pada Jun 2021.

Beliau berkata, isu itu timbul kerana pewartaan di bawah perundangan yang berbeza namun kedua-duanya mempunyai tujuan sama iaitu mewujud dan memelihara kawasan sebagai tadahan air untuk menjamin bekalan air.

"Pulau Pinang adalah negeri yang terawal berbanding negeri lain di Semenanjung yang mewartakan kawasan tadahan airnya di bawah Enakmen Pembekalan Air Negeri yang mana meliputi kawasan hutan simpanan kekal pada tahun 2004," katanya

Selasa lalu, Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man meminta Pulau Pinang segera mewartakan kawasan tadahan air bagi menjamin sumber bekalan pada masa depan.

Tuan Ibrahim berkata, setakat ini, tujuh negeri di Semenanjung iaitu Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Selangor dan Terengganu sudah mewartakan 100 peratus kawasan tadahan air seperti dicadangkan.

Disiarkan pada: December 17, 2020 @ 4:46pm
d