mutakhir

Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara diwujudkan

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri (JPN) mewujudkan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) bagi menangani kes siber yang semakin berleluasa.

Menurut kenyataan media dikeluarkan pihaknya hari ini menyatakan penubuhan JKSN itu bagi menangani peningkatan bilangan kes siber dilaporkan membabitkan organisasi sektor awam sepanjang tahun ini.

Katanya, setakat 30 November, pihaknya menerima 3,836 kes dilaporkan oleh pihak agensi.

Sebanyak 31.5 peratus kes membabitkan pencerobohan manakala 53.19 peratus membabitkan jangkitan malware.

Insiden siber ini boleh menjejaskan imej dan reputasi agensi, seterusnya memberi kesan negatif kepada kepercayaan pemegang taruh (stakeholder) dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan.

"Serangan Advanced Persistent Threat (APT), ransomware dan pencerobohan sistem ICT kerajaan adalah isu serius dan perlu diatasi kerana ia boleh menyebabkan berlakunya ketirisan maklumat strategik serta menjejaskan imej.

Kesannya, keselamatan dan kedaulatan negara terjejas, ekonomi dan kestabilan politik tergugat serta kesejahteraan rakyat juga terancam.

Bagi mengatasi ancaman dan serangan ini kerajaan melancarkan Strategi Keselamatan Siber Malaysia atau Malaysia Cyber Security Strategy (MCSS) pada 12 Oktober lalu," katanya.

Menurut kenyataan itu, strategi itu menggariskan tindakan bagi menangani ancaman siber yang semakin meningkat melalui pendekatan bersepadu meliputi pelbagai aspek keselamatan siber secara holistik dan terselaras.

Mesyuarat pertama JKSN berlangsung hari ini dipengerusikan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga menteri yang dipertanggungjawabkan ke atas pengurusan keselamatan siber negara.

Mesyuarat ini sebagai satu langkah kerajaan memulakan pelaksanaan pelan tindakan MCSS.

Antara keputusan penting dipersetujui dalam mesyuarat ini adalah kerajaan menubuhkan satu kumpulan kerja bagi menyelaras inisiatif penilaian dan pengukuhan keselamatan siber terhadap agensi sektor awam kritikal yang terpilih.

Bagi fasa pertama, sebanyak 16 agensi dikenal pasti bagi pelaksanaan inisiatif berkenaan.

Kerajaan juga menggubal undang-undang mengenai keselamatan siber dan bagi tujuan itu, satu Pasukan Petugas Khas akan diwujudkan bagi mengenal pasti dan mengkaji isu berkaitan keselamatan siber.

Pelaksanaan MCSS juga merangkumi tindakan perlindungan ke atas sistem kritikal pihak swasta dan persendirian.

Disiarkan pada: December 17, 2020 @ 7:16pm
d