mutakhir

Jabatan Penjara Kelantan sudah terima 3,887 Orang Diparol

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Jabatan Penjara Kelantan melalui Sistem Parol dan Perkhidmatan Komuniti sudah menerima 3,887 Orang Diparol (ODP) dan 92 Orang Bebas Berlesen bermula 2008 hingga 1 November tahun ini.

Pengarahnya, Mat Yaacob berkata, pihaknya sudah memperkenalkan pelbagai medium ke arah mencapai dua pertiga penghuni menjalani hukuman di luar tembok bagi mengurangkan kesesakan dalam penjara.

Katanya, antaranya adalah melalui pelaksanaan Sistem Parol dan Sistem Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL).

"Pelaksanaan sistem ini adalah bagi memastikan kesinambungan program pemulihan dan penyeliaan yang lebih berkesan dengan harapan dapat memberi peluang kedua kepada banduan untuk meneruskan kehidupan melalui proses reintegrasi dalam komuniti.

"Justeru, saya berharap, dengan adanya jalinan kerjasama di antara agensi di negeri ini, ia dapat memberi kesan yang efektif bagi mengurangkan penghuni berulang masuk semula ke penjara.

"Pada masa sama, ia juga boleh memberi peluang untuk mereka mendapatkan pekerjaan yang sesuai sebaik dibebaskan," katanya.

Beliau turut berharap agar banduan yang mendapat perintah bagi menjalani baki hukuman di luar penjara atau dalam komuniti dikenali sebagai ODP dan Orang Bebas Berlesen mempunyai jati diri yang kuat.

"Walaupun di mana mereka berada dan sesukar mana halangan, pastikan ia mampu dihadapi untuk mencapai kejayaan dalam hidup.

"Lupakan saja kenangan silam yang boleh menyakitkan, dan binalah kehidupan baru yang lebih baik," katanya.

Disiarkan pada: December 17, 2020 @ 7:26pm
d