mutakhir

Curi 800 batang kayu jaras bakau

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Taiping: Dua pemandu bot tongkang termasuk seorang warga Indonesia ditahan kerana mencuri 800 batang kayu jaras bakau di Hutan Simpan Paya Laut Matang, di sini, hari ini.

Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) dalam kenyataan berkata, dua lelaki terbabit ditangkap penguat kuasa Pejabat Renjer Kuala Sepetang bersama hasil curi yang diisi ke dalam dua tongkang dibawa mereka.

Katanya, tangkapan dibuat hasil rondaan dan intipan di sekitar hutan paya serta Hutan Simpan Pulau Singga Besar berdasarkan maklumat diterima berkenaan aktiviti pengeluaran kayu bakau tanpa kebenaran.

"Semakan mendapati kedua-dua pemandu tongkang berkenaan gagal mengemukakan dokumen pas pemindah mahupun sebarang dokumen sah dari JPNPk.

"Susulan itu mereka ditahan dengan nilai anggaran semasa rampasan kayu bakau serta kedua-dua bot tongkang yang disita itu berjumlah RM150,000," katanya.

Katanya, sehubungan itu satu laporan dibuat di Balai Polis Kuala Sepetang namun seorang daripada suspek yang juga warga tempatan dibebaskan dengan jaminan polis.

"Warga Indonesia terbabit dihantar ke Depo Tahanan Imigresen, Taiping untuk siasatan lanjut oleh pihak Jabatan Imigresen Malaysia," katanya.

Beliau berkata, kesalahan mencuri hasil hutan itu boleh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 dan penjara antara setahun hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: December 17, 2020 @ 8:20pm
d