mutakhir

Himaya penuhi permintaan

Kuala Lumpur: Menyedari kesukaran yang dialami oleh golongan bertudung untuk mendapat pelitup muka yang sesuai dengan penampilan mereka, Anggun Kirana Sdn Bhd mengambil peluang melancarkan jenama pelitup muka premium khas untuk wanita bertudung.

Himaya jenama baharu pelitup muka perubatan (3 lapisan) yang diperbuat daripada fabrik gred perubatan yang premium dan berkualiti tinggi bagi menghasilkan keupayaan serapan serta keselesaan yang lebih baik di samping mengurangkan iritasi.

Ia didatangkan dengan tali yang lembut dan boleh meregang di bahagian kepala, berbeza dengan kebanyakan pelitup muka yang menyediakan tali untuk dicangkukkan di bahagian telinga.

Pemilik jenama Himaya, Anggun Kirana Sdn Bhd menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk KK Chua berkata, pemilihan sasaran pengguna bertudung yang khusus dibuat memandangkan terdapat potensi yang besar untuk diteroka di dalam segmen berkenaan.

"Saya mendengar banyak maklum balas daripada golongan bertudung di luar sana yang menyatakan kesukaran mereka untuk mendapatkan pelitup muka yang mudah dipakai oleh wanita bertudung.

"Kebanyakan pelitup muka yang dijual memerlukan mereka memakai sambungan (mask extender) dan ini agak merumitkan jika mereka tidak mempunyai sambungan berkenaan." katanya.

Justeru, Himaya yang didatangkan dengan dua warna iaitu Love Latte (coklat lembut) dan Soft Olive (Hijau Pastel) muncul tepat pada waktunya bagi memberikan pilihan yang lebih selesa kepada golongan wanita bertudung bahkan boleh dipakai wanita tidak bertudung dan lelaki.

Pihaknya turut menjalinkan kerjasama dengan selebriti terkemuka yang juga pelakon dan pengacara, Elfira Loy yang sesuai dengan penampilannya yang bertudung serta mempunyai jumlah pengikut yang ramai di platform sosial media.

Disiarkan pada: December 17, 2020 @ 9:00pm
d