mutakhir

PPM Wilayah Tiga rampas kapal dan diesel bernilai RM1.6 juta

Oleh BERNAMA

Kota Bharu: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga merampas sebuah kapal pengangkut bersama diesel yang dianggarkan bernilai RM1.6 juta di Tok Bali, Pasir Puteh, semalam.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, rampasan dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat seramai lapan anggota PPM melalui Ops Benteng Covid-19 membuat pemeriksaan ke atas sebuah kapal pengangkut yang berada di sebuah jeti di Tok Bali, Pasir Puteh.

"Hasil pemeriksaan mendapati kapal terbabit berada di situ sejak jam 5 petang dan disyaki membuat pemindahan minyak diesel daripada tangki kapal dengan menggunakan paip getah bersaiz besar ke tiga tangki yang berada di daratan.

"Jarak pemindahan itu adalah sejauh 150 meter dan tangki berkenaan adalah dipercayai milik sebuah syarikat tempatan di sini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Norzaid berkata, pemeriksaan lanjut mendapati ada tiga tangki berisi diesel dan disyaki dipindah daripada tangki kapal pengangkut yang ada di jeti.

"Kami mendapati tangki itu tidak mempunyai sebarang dokumen atau permit berkaitan dengan pemindahan diesel. Sehubungan itu, seramai sembilan kru kapal pengangkut itu yang berusia 25 hingga 41 tahun termasuk tiga warga Indonesia ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Menurutnya, berdasarkan keterangan lisan kapten kapal itu, minyak diesel yang dipam ke tangki adalah sebanyak 6,000 liter dan akan dijual dengan harga RM1 bagi seliter.

Katanya, PPM kemudiannya menghubungi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan untuk membolehkan arahan pengisytiharan stok bagi mendapatkan jumlah sebenar minyak diesel di dalam tangki kapal.

"Pihak PPM mengesyaki wujud kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan bertindak menyita dengan mengeluarkan borang geledah dan merampas sejumlah 70,231 liter minyak diesel dan peralatan yang bernilai RM100,000 dan kapal bernilai RM1.5 juta.

Kes akan diserahkan kepada pihak KPDNHEP Kelantan bagi siasatan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: December 17, 2020 @ 10:50pm
d