mutakhir

Tak sempat seludup 2,465 kg minyak masak

Oleh Syaherah Mustafa

Pasir Mas: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas 2,465 kilogram (kg) minyak masak bernilai lebih RM26,000 dipercayai untuk diseludup ke Thailand di pangkalan haram Jitong, Jeram Perdah, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi, berkata dalam kejadian 8 malam itu, anggota bertugas membuat rondaan berkereta sebelum terserempak dua lelaki sedang memunggah barangan di pangkalan terbabit.

Katanya, anggota kemudian menghampiri lokasi itu dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis sebelum kedua-dua supek bertindak melarikan diri ke negara jiran menggunakan perahu.

"Hasil siasatan di lokasi, suspek memunggah minyak masak daripada sebuah van jenis Toyota Hiace ke perahu yang sudah tersedia untuk dibawa sebelah Thailand.

"Anggota bertugas menemui sebanyak 145 kotak minyak masak yang juga barangan bersubsidi di dalam van berkenaan.

"Kesemua barangan terbabit termasuk van dirampas dan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan dan siasatan lanjut," katanya.

Azhari berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Saya menasihatkan supaya semua lapisan masyarakat supaya mematuhi undang-undang dan peraturan yang sedia ada di Malaysia supaya sebarang bentuk penyeludupan dan jenayah rentas sempadan dapat dibanteras sama sekali.

"Pihak PGA7 memperketatkan lagi kawalan di sempadan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak walaupun dalam situasi banjir ataupun pandemik Covid-19," katanya.

Disiarkan pada: December 18, 2020 @ 12:14pm
d