mutakhir

Jangan bimbang, kes hanya dalam Pusat Koreksional Jasin

Oleh Hassan Omar

Alor Gajah: Masyarakat tidak harus panik dengan 98 kes positif Covid-19 yang dicatatkan di negeri ini semalam kerana hanya membabitkan penghuni Pusat Koreksional Jasin.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, setakat ini kes berkenaan tidak membabitkan jangkitan dalam komuniti dan langkah segera sudah diambil bagi memastikan ia tidak menular di luar pusat itu.

Katanya, kes berkenaan menyebabkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) meletakkan mukim Jasin dalam zon merah.

"Kes itu menyebabkan negeri ini buat pertama kalinya mencatat jumlah tertinggi dalam sehari setakat ini tetapi ia bukanlah penularan dalam komuniti, sebaliknya datangnya daripada Kluster Penjara Jalan Harapan yang membabitkan penghuni penjara.

"Anggota komuniti tidak harus panik kerana keadaan terkawal dan tidak membabitkan jangkitan dalam komuniti di luar pusat itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu katanya, JKNM menjalankan saringan ke atas lebih 600 penghuni pusat berkenaan dan tindakan segera merawat mereka akan diambil jika positif Covid-19.

Secara keseluruhannya, sebanyak 152 kes positif dicatatkan di negeri ini semalam tetapi tiada kes kematian.

"Selain itu, tiada kes pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Melaka dan tiada kes sembuh dicatatkan," katanya.

Selain mukim Jasin yang dikategorikan sebagai zon merah, tujuh zon kuning ialah Machap, Sebatu, Batu Berendam, Kandang, Sungai Baru Ulu, Tanjung Minyak dan Bukit Piatu.

Sehubungan itu anggota komuniti diminta supaya tidak memasuki zon merah jika tiada keperluan mendesak, katanya.

Disiarkan pada: December 18, 2020 @ 1:29pm
d