mutakhir

Elak pinjam along, bantu polis

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Orang ramai diminta mengelakkan daripada meminjam dengan ceti haram atau along bagi membantu pihak berkuasa membanteras aktiviti pinjaman wang tanpa lesen itu.

Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan Michael Tay Chee Boon berkata, masyarakat seharusnya bekerjasama dengan pihak berkuasa, terutama kepada polis, dengan menyalurkan maklumat mengenai kegiatan lintah darat itu.

Beliau turut memuji tindakan tegas Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang serius membanteras kegiatan along, dengan membuka sejumlah besar kertas siasatan dan menangkap ahli sindiket ceti haram itu.

"Sekiranya polis menjalankan tanggungjawab banteras kegiatan along tetapi masih ada permintaan daripada masyarakat untuk terus meminjam along, masalah ini tidak akan habis.

"Ramai meminjam wang daripada along kerana pinjaman senang diperoleh, tetapi kesannya sangat buruk," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Michael Tay mencadangkan kepada mereka yang terdesak meminjam wang untuk keperluan harian seperti makanan supaya mengusahakan pinjaman daripada ahli keluarga terlebih dahulu.

"Saya faham, ketika ini ramai yang kehilangan kerja dan terdesak mahukan wang, mereka boleh usahakan meminjam daripada saudara, ahli keluarga atau sahabat dahulu," katanya.

Semalam, Polis Kontinjen Johor membuka 338 kertas siasatan membabitkan pelbagai kes jenayah dilakukan kumpulan along di negeri ini, sejak awal tahun ini hingga semalam.

Sepanjang tempoh itu, 296 individu terbabit dalam kes pinjaman wang tanpa lesen ditangkap.

Selain menumpaskan sembilan sindiket along, seramai 41 individu termasuk seorang wanita warga Vietnam, berusia antara 23 hingga 46 tahun diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Disiarkan pada: December 18, 2020 @ 3:24pm
d