mutakhir

Zoo Negara dibuka [METROTV]

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

Ampang: Zoo Negara sudah mula dibuka mulai hari ini dengan sasaran 1,200 pengunjung dalam satu-satu masa selepas ditutup selama dua bulan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly @ Rahmat Ahmat Lana berkata, kebenaran pembukaan semula ini secara tidak langsung membantu menstabilkan kewangan zoo negara.

"Pembukaan pada hari pertama ini amat menggalakkan sama ada pembelian tiket di kaunter mahupun dalam talian.

"Saya jangkakan lebih ramai lagi pengunjung akan hadir pada hujung minggu esok dengan had 1,250 pengunjung dalam satu-satu masa mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran wafer emas 999 HABIB dengan kolabrasi ekslusif bersama Zoo Negara.

Menurutnya, bulan Disember antara waktu puncak pengunjung melawati Zoo Negara.

"Pada tahun 2019, kami menerima kunjungan tertinggi sehingga 4,000 pengunjung dalam satu hari pada bulan Disember.

"Namun, ekoran pandemik Covid-19 dan ketetapan had pengunjung dalam satu-satu masa, kami berharap jumlah pengunjung yang hadir mencapai sasaran," katanya.

Katanya, orang ramai sudah boleh mengunjungi Zoo Negara mulai hari ini dan akan beroperasi setiap hari mulai 9 pagi hingga 5 petang.

Tinjauan wartawan mendapati pengunjung mula mengunjungi pusat rekreasi ini bermula 10 pagi dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Setakat 3 jam dibuka, Zoo Negara menerima lebih 100 pengunjung yang rata-ratanya adalah warga tempatan.

Sementara itu, pengunjung Zoo Negara, Zainol Mishak Mohd Saad, 39, berkata, dia memilih destinasi Zoo Negara untuk bersiar bersama isteri dan lima anaknya sebagai tanda sokongan pengoperasian semula pusat rekreasi itu.

"Saya juga baru tahu Zoo Negara sudah mula buka hari ini dan mengambil pilihan untuk melawatinya bersama keluarga sebelum pulang ke kediaman di Ayer Molek, Melaka.

"Lawatan ini juga sebagai tanda untuk membantu zoo negara kekal beroperasi dan juga sama-sama menjaga kebajikan haiwan di sini," katanya.

Nurul Hafiza Khamis, 35, bersama suami dan dua orang anaknya berkata, kunjungannya juga bertujuan membantu Zoo Negara kekal beroperasi.

"Saya tidak mahu ada isu haiwan di dalam Zoo Negara kelaparan dan kerana itu saya menyokong pembukaan semula zoo ini.

"Saya berharap orang ramai turut menyokong zoo negara kita agar semua kebajikan haiwan di sini terbela," katanya.

Disiarkan pada: December 18, 2020 @ 4:37pm
d