mutakhir

Buang bayi, remaja perempuan ditahan

Oleh Norzamira Che Noh

Klang: Remaja perempuan ditahan bagi membantu siasatan kes bayi perempuan yang dijumpai di belakang sebuah rumah di Kampung Delek Kanan, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, suspek berusia 18 tahun itu ditahan pada jam 10 malam tadi selepas hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan

Katanya, siasatan mendapati suspek yang tinggal bersama ibu tiri berhampiran lokasi kejadian mengakui membuang bayi itu.

"Siasatan awal mendapati suspek dari Pahang dan sering berkunjung ke rumah ibu tiri di daerah ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek kini dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan susulan.

Katanya, semakan turut mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan kini direman selama empat hari bermula hari ini.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Semalam, bayi perempuan yang masih hidup dipercayai baru saja dilahirkan ditemui di belakang sebuah rumah di Kampung Delek Kanan pada jam 12 tengah hari.

Bayi yang bertali pusat dan mempunyai uri itu ditemui oleh seorang lelaki selepas dimaklumkan oleh sekumpulan kanak-kanak yang bermain di hadapan rumahnya.

Berita berkaitan

Jumpa bayi perempuan di belakang rumah

Disiarkan pada: December 18, 2020 @ 4:43pm
d