mutakhir

Proses penilaian syarikat penyewaan helikopter sedang dilakukan

Oleh Ruwaida Md Zain

Subang: Tender terbuka tempatan untuk penyewaan helikopter bagi menggantikan Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang ditamatkan perkhidmatan sudah dibuka sejak 15 Oktober lalu dan ditutup semalam.

Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad berkata, proses selanjutnya adalah untuk menilai sebelum diputuskan syarikat tempatan mana yang akan dianugerahkan tender berkenaan.

Katanya, antara faktor penamatan perkhidmatan helikopter Nuri adalah usia yang sudah melebihi 50 tahun.

"Pesawat itu masih mempunyai status 'airworthiness' pada masa ditamatkan pengoperasian, bagaimanapun kerajaan memutuskan menghentikan pengoperasian Nuri atas faktor usia (melebihi 52 tahun) malah keusangan kerana kebanyakan komponen dan alat ganti sudah tidak lagi dikeluarkan oleh pengilang atau OEM.

"Kebanyakan komponen yang dihantar untuk pembaikan kepada pihak OEM dipulangkan semula atas dasar Beyond Economic Repair (BER) malah kos penyelenggaraan Nuri yang semakin tinggi menyulitkan TUDM untuk teruskan pengoperasian.

"Faktor usia dan cabaran dari aspek senggaraan secara langsung mengakibatkan kos pengoperasian pesawat semakin tinggi dan 'downtime' pesawat semakin panjang apabila berlaku kerosakan," katanya dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan TUDM Tahun 2020 di Pangkalan Udara Subang di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Panglima TUDM, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Sementara itu, Ackbal berkata TUDM akan memperoleh pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircarft (FLIT/LCA) dalam tempoh tiga tahun ini.

Beliau berkata, seiring dengan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55), pihaknya merancang untuk memperoleh sebanyak 36 pesawat (FLIT/LCA) secara berfasa, namun ia bergantung kepada kelulusan kerajaan.

"Untuk keperluan TUDM dalam perolehan FLIT/LCA, pesawat platform tunggal dwi-fungsi ini perlu memiliki keupayaan yang seimbang, dalam melaksanakan peranan untuk latihan juruterbang pesawat pejuang dan pelbagai misi operasi.

"TUDM sudah memohon peruntukan dari pihak kerajaan untuk perolehan Fasa 1 sebanyak 18 pesawat, melalui pendaftaran projek baharu 2021 dan permohonan untuk perolehan Fasa 2 bagi 18 pesawat lagi akan dilaksanakan, dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13)," katanya.

Terdahulu, Majlis Anugerah Kecemerlangan TUDM Tahun 2020 disambut secara norma baharu dan mencatatkan kelainan dalam penganjurannya, berikutan negara dilanda krisis pandemik Covid-19.

Disiarkan pada: December 18, 2020 @ 5:53pm
d