mutakhir

Kelonggaran sektor pelancongan dan kebudayaan [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kerajaan setuju memberi kelonggaran bagi pembukaan sektor pelancongan dan kebudayaan bermula esok.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri berkata, persetujuan dibuat berdasarkan penilaian cadangan prosedur operasi standard (SOP) yang dibentangkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, semalam.

"Kerajaan bersetuju memberi kelonggaran bagi pembukaan sektor berkenaan merangkumi aktiviti mesyuarat seperti konvensyen, pameran, travel fairs, produk pelancongan (zoo, taman rekreasi, akuarium), pameran hasil seni (muzium, galeri seni, perpustakaan, persembahan budaya) dan taman tema.

"Bagaimanapun, jumlah kehadiran pengunjung adalah tertakluk kepada 50 peratus keluasan premis dengan penjarakan fizikal.

"Bagi sektor membabitkan persembahan pentas, ianya dibenarkan tetapi tanpa kehadiran penonton," katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju membenarkan pembukaan sektor sukan dan rekreasi termasuk perlawanan bola sepak Piala Malaysia berkuatkuasa Januari 2021.

Katanya, di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), aktiviti sukan dan rekreasi dibenarkan dengan mematuhi SOP manakala penganjuran kejohanan tempatan dibenarkan dengan kapasiti penonton 10 peratus atau maksimum 4,000 penonton.

Tambah beliau, aktiviti massa seperti larian, berbasikal dan marathon yang membabitkan penyertaan melebihi 500 orang pada satu masa adalah tidak dibenarkan.

Di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), beliau berkata, aktiviti sukan dan rekreasi kategori individu serta kumpulan dibenarkan tanpa kehadiran penonton, manakala aktiviti masa tidak dibenarkan.

Bagaimanapun, katanya, semua aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak dibenarkan.

Disiarkan pada: December 18, 2020 @ 6:40pm
d