mutakhir

Hulu Terengganu terjejas banjir

Oleh Zaid Salim

Chukai: Keadaan banjir di Terengganu bertambah buruk dengan peningkatan mendadak mangsa yang dipindahkan seramai 4,262 orang membabitkan 1,046 keluarga dari empat daerah sehingga jam 8 pagi tadi.

Susulan peningkatan itu juga, sebanyak 38 pusat penempatan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan semua mangsa di empat daerah terbabit.

Susulan hujan berterusan di seluruh negeri ini sejak Khamis lalu mengakibatkan daerah Hulu Terengganu menjadi daerah terharu dilanda bencana selepas Kemaman, Dungun dan Setiu.

Kemaman yang terjejas teruk, terus menyaksikan peningkatan jumlah mangsa apabila seramai 3,753 orang daripada 879 keluarga terjejas banjir di seluruh daerah ini.

Berikutan itu beberapa PPS baru diaktifkan menjadikan sehingga kini sebanyak 25 PPS beroperasi bagi menempatkan kesemua mangsa terbabit.

Cuaca buruk turut menyaksikan penambahan jumlah mangsa banjir dipindahkan di daerah Dungun selepas kediaman mereka dinaiki air sehingga paras 0.5 meter.

Semua 186 mangsa daripada 58 keluarga terbabit kini ditempatkan di empat PPS yang diaktifkan setakat ini.

Manakala Setiu, kekal dengan satu keluarga yang dipindahkan membabitkan mangsa seramai dua orang ditempatkan di satu PPS balai raya lama Kampung Bukit Nenas.

Daerah baharu yang terjejas banjir, Hulu Terengganu pula menyaksikan jumlah mangsa yang terjejas banjir seramai 321 orang membabitkan 108 keluarga.

Kesemua mangsa kini ditempatkan di lapan PPS yang diaktifkan sebaik banjir melanda daerah itu, lewat malam tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, peningkatan jumlah mangsa lebih dua kali ganda itu susulan hujan lebat yang masih melanda khususnya di kawasan pedalaman selain fenomena air pasang besar.

Katanya, implikasi itu menyebabkan aliran sungai tidak dapat mengalir dengan sempurna dan menyebabkan limpahan air di sungai utama sekaligus menyebabkan paras air meningkat secara mendadak.

Disiarkan pada: December 19, 2020 @ 11:38am
d