mutakhir

Cubaan PATI seludup keluar syabu tumpas [METROTV]

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Cubaan 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) keluar dari negara ini bersama syabu bernilai RM 41,250 di laluan tikus gagal apabila ditumpaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), malam tadi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia Kem Terendak, Melaka dalam satu kenyataan berkata, dalam kejadian yang berlaku 11.20 malam itu, PATI berkenaan cuba keluar dari laluan tidak sah di sektor Op Benteng kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged).

"Melalui maklumat orang awam, terdapat aktiviti PATI sedang berkumpul di persisiran Pantai Kampung Sungai Rengit, Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor.

"Pada 10.45 malam, Anggota Pos Pemerhati turut mengesan dua bot sedang berlegar di kawasan Pulau Che Kamat berhampiran Pantai Kampung Sungai Rengit sebelum pasukan bertindak menghubungi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk membuat pemantauan di sekitar kawasan itu.

"Pada masa sama, Pasukan Tindakan Cepat (QRF) turut digerakkan bagi membuat penjejakan," katanya.

Katanya, hasil serbuan dilakukan QRF pada 11.20 malam berjaya menahan 35 PATI warga Indonesia terdiri daripada 32 lelaki dan tiga wanita berusia 21 hingga 57 tahun dipercayai sedang menunggu bot untuk dibawa pulang ke negara asal.

"Pemeriksaan dilakukan di Markas Taktikal Tanjung Sepang menemui salah seorang PATI itu memiliki dadah syabu dianggarkan seberat 750 gram (gm) yang dibungkus dalam 15 plastik.

"PATI berkenaan yang juga warga Indonesia berusia 32 tahun itu mempunyai sejarah perjalanan sebanyak tiga kali memasuki Malaysia melalui jalan tidak sah.

"Nilai rampasan keseluruhan tangkapan dianggarkan berjumlah RM 110,422.26 membabitkan wang tunaiRM 18,319.44, mata wang Indonesia 50,587,200 Rupiah (RM14,527.06) serta beberapa mata wang lain.

"Turut dirampas, telefon pintar pelbagai jenama, barangan kemas, jam tangan dan termasuk syabu seberat 750 gm yang dianggarkan bernilai RM 41,250," katanya.

Menurutnya, semua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia serta laporan dibuat di Balai Polis Bayu Damai.

"Pasukan meneruskan atur gerak QRFbagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan," katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2020 @ 12:24pm
d