mutakhir

2 kluster baharu di Johor

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Dua kluster baharu dikesan di Johor iaitu Kluster Tembok Gajah dan Kluster Utama Rini di sini, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan berkata, Kluster Tembok Gajah membabitkan fasiliti Penjara Kluang di Daerah Kluang yang kes indeks dilaporkan positif Covid-19 pada 16 Disember lalu melalui saringan individu bergejala.

"Sejumlah 52 individu disaring dan 13 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

"Susulan itu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Kluang dan Kuarters Penjara dilaksanakan hingga 31 Disember depan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Manakala kluster Utama Rini membabitkan daerah Johor Bahru, Kulai dan Pontian yang kes indeks bagi kluster itu dilaporkan positif 19 pada 11 Disember lalu melalui saringan individu bergejala.

"Sejumlah 100 individu disaring dan 22 kes dikesan positif Covid-19," katanya.

Menurut Vidyananthan, setakat semalam terdapat 77 kes baharu dilaporkan di Johor iaitu 34 kes daripada kluster sedia ada termasuk 16 kes daripada kluster baharu, 22 kes daripada saringan kontak rapat, 19 kes daripada lain-lain saringan dan 2 kes import luar negara.

Katanya, setakat ini terdapat 21 kluster di negeri ini.

"Pengesanan kontak rapat dan ujian Covid-19 masih giat dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah terbabit," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 19, 2020 @ 1:23pm
    d