mutakhir

Wanita 73 tahun rugi RM61,500 ditipu kekasih FB

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Seorang wanita warga emas kerugian RM61,500 selepas diperdaya teman lelakinya yang dikenali melalui laman sosial Facebook (FB) sejak April lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, selepas menjalin cinta hampir sembilan bulan, mangsa berusia 73 tahun yang menetap di Bentong dihubungi teman lelakinya bernama Kelvin untuk meminjam RM100,000.

Menurutnya, suspek berjanji akan mengembalikan wang dipinjam.

"Mangsa yang percaya dengan janji manis lelaki terbabit memasukkan RM61,500 ke akaun bank atas nama individu lain yang diberikan suspek melalui empat transaksi di sebuah bank di Bentong.

"Semalam (Jumaat), mangsa datang semula ke bank berkenaan untuk memasukkan baki wang yang dipinjam suspek, namun bernasib baik apabila pihak bank curiga dengan nombor akaun yang digunakan sebelum mendapati ia milik sindiket penipuan wang," katanya pada kenyataan hari ini.

Mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Bentong semalam selepas menyedari ditipu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: December 19, 2020 @ 1:25pm
d