mutakhir

Rumah tenggelam 52 kali akibat banjir

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: "Makcik dah tak sanggup lagi redah banjir selepas 52 kali melaluinya setiap kali rumah tenggelam akibat banjir," kata Aishah Hussin, 81.

Oleh itu, dia berkata, persiapan awal untuk berpindah sudah dilakukan sejak seminggu lalu apabila melihat peningkatan aras air Sungai Galas.

Aishah yang tinggal di Kampung Limau Kasturi terletak di pinggir Sungai Galas dekat sini, mengakui serik berdepan banjir malah pernah terperangkap dalam rumah.

"Selepas beberapa hari rasa cemas, hari ini makcik sudah siap letak barangan penting termasuk pakaian di atas loteng.

"Hanya makcik dan seorang anak bersama tiga cucu menunggu masa untuk berpindah," katanya ditemui di rumahnya.

Paras air Sungai Galas meningkat jam 8 pagi tadi akibat hujan berterusan sejak petang semalam menyebabkan 10 keluarga di Kampung Limau Kasturi bersiap untuk berpindah.

Selain itu, lebih 1,000 penduduk di Kampung Limau Kasturi Hulu, Kampung Serian, Kampung Batu 11 dan Batu 12, terputus hubungan apabila jalan ke kampung terbabit tenggelam pagi ini.

Seorang lagi penduduk, Saudah Mahmod, 60, berkata, rumahnya adalah yang paling awal dinaiki banjir kerana berhampiran dengan sungai.

"Sepanjang dua bulan ini, sudah tiga kali air sungai melimpah dan memasuki rumah kami.

"Saya juga pernah terperangkap kerana paras air sungai meningkat dengan cepat apabila hujan lebat.

"Keadaan ini bukan saja berlaku di musim tengkujuh malah hari biasa jika hujan lebat," katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2020 @ 4:08pm
d