mutakhir

Warga Myanmar kantoi bawa dadah RM145,000

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Gombak: Polis menahan tiga lelaki warga Myanmar yang memiliki dadah disyaki syabu dan heroin dalam serbuan di sebuah premis di Taman Prima Selayang, Batu Caves, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak membuat serbuan di lokasi berkenaan 10.05 pagi.

"Dalam serbuan itu, kami merampas tiga peket plastik lut sinar mengandungi bahan kristal dipercayai dadah jenis syabu dianggarkan seberat tiga kilogram di dalam kereta Honda City.

"Selain itu, kami turut merampas dua plastik berisi bahan berwarna merah jambu disyaki dadah heroin seberat 900 gram yang ditemui di dalam kenderaan Perodua Kembara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arifai berkata, semua dadah berkenaan yang dianggarkan bernilai RM145,000 dirampas bersama dua kenderaan iaitu kereta Honda City serta Perodua Kembara.

"Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap tiga suspek berusia antara 29 hingga 46 tahun itu didapati positif dadah methaphetamin.

"Semakan mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah. Mereka direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 24 Disember nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama," katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2020 @ 5:02pm
d