mutakhir

Isu bawang dan cili merah! 16 peniaga disiasat KPDNHEP

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Sebanyak 16 premis merangkumi pemborong dan peruncit di ibu kota diberikan notis 'tunjuk sebab' berhubung punca kenaikan bawang dan cili merah di pasaran.

Ia susulan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menerima rungutan orang ramai berhubung kenaikan harga bawang merah dan cili merah baru-baru ini.

Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, bawang merah adalah barangan import yang dibawa masuk dari luar negara khususnya India.

Menurutnya, larangan eksport ke atas semua jenis bawang kecuali jenis 'Bangalore Rose' dan 'Krishnapuram' yang dikeluarkan oleh kerajaan India pada 14 September lalu mengakibatkan bekalan bawang merah terjejas di pasaran seluruh dunia termasuk di Malaysia.

"Walau bagaimanapun, bekalan bawang merah dari negara-negara lain seperti China, Mesir, Holland dan Turki didapati mudah diperolehi dan masih ditawarkan kepada pengguna pada harga yang berpatutan.

"Hasil pemeriksaan dijalankan di pasar raya dan pasar basah menunjukkan harga bawang merah yang diimport daripada negara selain India adalah di antara RM3.90 hingga RM11 sekilogram. Manakala bagi bawang merah kecil import boleh diperoleh pada harga serendah RM4.90 sekilogram di premis-premis terpilih," katanya.

Menurutnya, pegawai penguat kuasa KPDNHEP WPKL menggiatkan pemeriksaan di premis-premis sekitar Kuala Lumpur merangkumi pasar basah, pasar raya, pasar raya besar dan kedai-kedai runcit.

"Berdasarkan pemeriksaan itu, sebanyak 16 premis merangkumi pemborong dan peruncit bagi bawang serta cili diberikan notis mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 bagi mendapatkan penjelasan berhubung kenaikan harga yang berlaku.

"Tindakan tegas akan diambil sekiranya mana-mana peniaga didapati cuba menaikkan harga bagi mencatut," katanya tadi.

Menurutnya, mana-mana peniaga yang didapati melakukan kesalahan mencatut akan diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Individu yang bersalah boleh didenda mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, bagi pemilik syarikat mereka boleh didenda sehingga RM500,000.

"Pengguna disarankan memanfaatkan sepenuhnya aplikasi mudah alih 'Price Catcher' semasa berbelanja untuk membuat perbandingan harga dan merancang perbelanjaan secara berhemah.

"Sebarang aduan boleh disalurkan kepada Kementerian ini melalui Portal KPDNHEP: www.kpdnhep.gov.my, pusat aduan 1-800-886-800 atau menghantar WhatsApp ke nombor 019- 279 4317.

Disiarkan pada: December 19, 2020 @ 7:40pm
d