mutakhir

[TERKINI] 6,305 penduduk dipindahkan di Terengganu [METROTV]

Oleh Zaid Salim

Chukai: Hujan berterusan sesekali lebat, sejak malam tadi hingga kini menyebabkan beberapa kawasan rendah dan berhampiran sungai ditenggelami air sekali gus menyebabkan peningkatan mangsa banjir di di pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah di Terengganu.

Peningkatan mangsa dikatakan berpunca daripada air pasang besar yang berlaku tengah malam tadi menyebabkan penduduk terpaksa meninggalkan rumah selepas ada kediaman meteka dinaiki air sehingga melebihi 0.5 meter.

Statistik banjir dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menunjukkan mangsa di PPS bertambah sebanyak 172 orang menjadikan jumlah keseluruhan penduduk terjejas banjir adalah seramai 6,305 orang (1,663 keluarga) di empat daerah, Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu dan Setiu, pagi ini.

Bilangan PPS juga bertambah daripada 47 tengah malam tadi kepada 49, dengan pertambahan dua PPS baharu yang diaktifkan.

Kemaman kekal sebagai daerah tertinggi bilangan mangsa yang terjejas banjir dengan jumlah yang dipindahkan meningkat kepada 5,108 orang membabitkan 1,238 keluarga di 25 PPS.

Dungun juga mencatatkan peningkatan angka mangsa dipindahkan dengan 381 orang daripada 104 mangsa ditempatkan di 10 PPS.

Sementara itu, di Hulu Terengganu juga, berlaku peningkatan mangsa terjejas banjir apabila seramai 805 orang dipindahkan di 13 PPS membabitkan 318 keluarga.

Di Setiu, bilangan mangsa kekal dengan 11 orang daripada tiga keluarga dipindahkan di PPS balai raya lama Kampung Bukit Nenas.

Disiarkan pada: December 20, 2020 @ 9:13am
d