mutakhir

Penduduk sudah bersiap sedia beli bot fiber

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kuala Krai: Banjir yang berlaku saban tahun mendorong penduduk di beberapa kampung di Kuala Krai yang kebanyakannya tinggal di kawasan rendah serta terjejas banjir, mengambil inisiatif membeli bot fiber sendiri sebagai langkah keselamatan.

Seorang penduduk, Mohd Hakimi Jamaludin, 32, berkata, dia mengambil inisiatif membeli bot fiber berharga RM1,300 sejak lima tahun lalu, selepas kampung mentuanya di Kampung Kebun Pisang sering dinaiki air apabila tibanya musim tengkujuh.

Dia yang berkhidmat sebagai anggota tentera di Gong Kedak, Pasir Puteh berkata, sebelum membeli bot itu, jirannya, Jasli Ahmad, 33, sudah mempunyai bot fiber, namun tidak mampu memuatkan ramai orang dalam satu-satu masa, sekiranya ramai daripada mereka perlu berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS.

"Situasi sebegini tidak asing lagi bagi kami sekeluarga kerana hampir setiap tahun kawasan di sekitar Kampung Kebun Pisang dan beberapa kampung berdekatan dinaiki air, jika hujan lebat berterusan selama beberapa hari.

"Ketika gelombang pertama banjir pada November lalu, kawasan sekitar rumah dinaiki air pada paras 0.3 meter (m), bagaimanapun hujan lebat yang berterusan baru-baru ini menyebabkan paras air naik mendadak sehingga 0.5 m.

"Bagaimanapun, kami sekeluarga tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana keadaan pada ketika itu tidak memerlukan kami berpindah, namun saya sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan, terutamanya jika air naik pada waktu malam," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kebun Pisang.

Bapa kepada dua anak berusia antara tiga hingga enam tahun itu berkata, usaha untuk membeli bot sendiri penting bagi setiap rumah di enam kampung termasuk Kampung Chenulang, Tasan, Kuala Pertang, Pasir Jering dan Tanjung Kala terutama

semasa air sungai berada pada paras waspada.

"Ada \antara bot yang dimiliki oleh penduduk di sekitar kawasan ini diberikan secara sumbangan oleh pemimpin politik, badan korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin terhadap nasib kami yang sentiasa berdepan dengan banjir," katanya.

Katanya, sebelum ini, dia pernah mengemudi bot sejauh tiga kilometer untuk membawa isteri dan anak-anaknya ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Chenulang selepas kediaman mereka dinaiki air pada waktu malam.

"Pada ketika itu, terdetik di hati saya rasa syukur kerana perancangan untuk membeli bot fiber bagi kemudahan kami sekeluarga adalah sangat tepat memandangkan rumah kami adalah penanda aras bagi anggota keselamatan memulakan operasi menyelamat di kampung-kampung berdekatan.

"Selain untuk kemudahan kami sekeluarga berpindah, bot fiber milikn saya juga pernah digunakan untuk mengangkat jenazah dari kampung yang berdekatan bagi urusan pengebumian.

"Memang perit kerana perlu menghadapi benda sama setiap tahun namun apa yang berlaku adalah ketentuan-Nya," katanya.

Disiarkan pada: December 20, 2020 @ 9:21am
d