mutakhir

Banjir Terengganu, Kelantan makin buruk, mangsa naik 7,000

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Situasi banjir di pantai timur Semenanjung semakin buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga jam 8 pagi ini meningkat kepada 7,308 berbanding 6,627 petang semalam.

Di Terengganu, jumlah mangsa meningkat kepada 6,305 orang daripada 1,663 keluarga setakat jam 8 pagi ini berbanding 5,776 orang (1,478 keluarga) pada 4 petang semalam, yang membawa kepada pembukaan tiga lagi PPS, menjadikan jumlah keseluruhan PPS sebanyak 49.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Ketua Sekretariat JPBN Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, Kemaman merupakan daerah paling terjejas dengan jumlah mangsa terkini seramai 5,108 orang (1,238 keluarga) berbanding 4,729 orang (1,135 keluarga) petang semalam.

"Jumlah PPS di Kemaman kekal di 25 lokasi namun peningkatan jumlah mangsa susulan beberapa penempatan penduduk dinaiki air awal pagi tadi akibat air pasang," katanya kepada pemberita, hari ini.

Di Dungun pula, jumlah mangsa bertambah kepada 381 orang (104 keluarga) di 10 PPS berbanding 326 orang (95 keluarga) di tujuh PPS sebelum ini manakala di Hulu Terengganu meningkat kepada 806 orang (318 keluarga) berbanding 710 orang (245 keluarga) petang semalam.

Di Setiu pula, mangsa kekal 11 orang daripada tiga keluarga di satu PPS.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal http://infobanjir.water.gov.my melaporkan paras air tiga sungai di dua daerah masih melepasi paras bahaya setakat jam 8 pagi iaitu Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman setinggi 18.56 meter (m); Sungai Kemaman, Kemaman setinggi 5.12 m dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun setinggi 12.81 m.

Di Kelantan jumlah mangsa banjir di empat daerah melonjak kepada 1,003 orang sehingga jam 8 pagi ini berbanding 851 mangsa petang semalam, dengan Gua Musang menjadi jajahan terbaharu selepas Tanah Merah, Kuala Krai dan Pasir Mas.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) satu lagi PPS di buka di Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi, Gua Musang bagi menempatkan 13 mangsa daripada dua keluarga termasuk seorang bayi perempuan dan seorang warga emas perempuan.

Setakat ini, Pasir Mas masih kekal mencatatkan mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 603 orang (197 keluarga) termasuk dua Orang Kurang Upaya (OKU) di 10 PPS, Kuala Krai (226 mangsa daripada 56 keluarga termasuk dua OKU di tujuh PPS) dan Tanah Merah (161 mangsa daripada 42 keluarga di enam PPS).

Sementara itu, mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat jam 8 pagi ini, tiga sungai di Kelantan mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan paras 10.43 m, Sungai Kelantan di Kuala Krai 25.15 m dan di Kg Temangan, Machang 17.43 m.

Lebih ramai penduduk dijangka terjejas dan dipindahkan susulan cuaca hujan di seluruh Kelantan dengan sesekali lebat ketika ini.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Mohd Wildan Azhari menasihati penduduk agar tidak mengambil risiko dengan berpindah sendiri ke PPS tanpa pengawasan agensi keselamatan.

"Hal ini sebenarnya bahaya. Kita takut sekiranya mereka (mangsa) tidak mendapat maklumat lanjut berkaitan dari mana berlakunya limpahan air ketika banjir dan ini boleh mengakibatkan terjadinya perkara tidak diingini seperti kenderaan tersekat di tengah jalan dan kes hanyut.," katanya yang bimbang susulan lebih 80 peratus mangsa bertindak demikian menggunakan bot persendirian dan berjalan kaki.

Disiarkan pada: December 20, 2020 @ 11:10am
d