mutakhir

Jerantut pula dilanda banjir

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Jerantut menjadi daerah kedua dilanda banjir di Pahang, susulan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Teh dibuka bagi menempatkan 13 mangsa daripada dua keluarga, hari ini.

Setakat 12 tengah hari ini, dua PPS sudah dibuka di negeri ini termasuk sebuah PPS Dewan Orang Ramai Sungai Ular, di sini.

Menurut portal bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dua PPS itu kini menempatkan 38 mangsa daripada enam keluarga berbanding hanya 25 mangsa daripada empat keluarga di daerah ini, pagi tadi.

Sementara itu, infobanjir.water.gov.my memaklumkan air Sungai Kuantan di Sungai Lembing, di sini, melepasi paras amaran iaitu 35.04 meter (m) berbanding 35 m setakat 12 tengah hari ini.

Turut melepasi paras amaran ialah Sungai Tembeling di Kuala Tahan dan Sungai Pahang di Sungai Yap, di sini.

Sungai Tembeling mencecah 66.53 m berbanding paras amaran yang ditetapkan 66 m, manakala Sungai Pahang di Sungai Yap merekodkan 51.91 m berbanding 50 m.

Empat sungai lain yang melebihi paras berjaga-jaga ialah di Sungai Pahang, Lubuk Pasu, Temerloh yang merekodkan 29.61 m berbanding 29 m, Sungai Kuantan, Pasir Kemudi mencatat 4.85 m berbanding 4.6 m.

Selain itu Sungai Belat di Sri Damai pula mencatat 3.41 m berbanding 3.0 m dan Sungai Lepar di Jambatan Gelugor merekodkan 28.58 m berbanding 28.50 m.

Disiarkan pada: December 20, 2020 @ 1:06pm
d