mutakhir

Lebih 25 tan limau mandarin dirampas

Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Lebih 25 tan limau mandarin bernilai lebih RM100,000 yang dibawa masuk ke negara ini dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini, kelmarin.

Operasi dilakukan pada 5.40 petang itu oleh sepasukan anggota penguat kuasa apabila membuat pemeriksaan ke atas sebuah kontena dari China yang baharu masuk ke pelabuhan berkenaan.

Pengarah Maqis negeri, Zarina Ramli berkata, pemeriksaan yang dijalankan mendapati terdapat 1,854 kotak mengandungi limau mandarin seberat 25,956 kilogram (kg) bernilai RM108,887.

"Siasatan yang dijalankan mendapati ia melanggar syarat permit import iaitu gagal mematuhi Pengredan, Pembungkusan, dan Perlabelan (3P) sebagaimana yang dinyatakan dalam sijil 3P.

"Justeru, MAQIS membuat rampasan ke atas semua limau mandarin itu untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, perbuatan mengimport keluaran pertanian tidak mematuhi piawaian yang dikehendaki pada permit import Maqis adalah kesalahan mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

Disiarkan pada: December 20, 2020 @ 3:22pm
d