mutakhir

Tokan 'baru nak up' kena cekup

Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Dua lelaki termasuk remaja berusia 14 tahun dipercayai pengedar dadah ditahan bersama sejumlah heroin dalam dua serbuan di Kampung Bukit Malut, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, dalam serbuan pertama, pihaknya menahan suspek berusia 20 tahun ketika dia dalam perjalanan mengedar dadah pada 5.30 petang.

"Pemeriksaan menemui sembilan keratan straw berisi bahan terlarang disyaki dadah jenis heroin seberat 4.75 gram (g).

"Siasatan awal mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah dan saringan ujian air kencing didapati positif dadah," katanya.

Shariman berkata, hasil soal siasat ke atas suspek pertama membawa kepada penahanan remaja lelaki berusia 14 tahun di kawasan berhampiran setengah jam kemudian.

"Hasil pemeriksaan polis turut merampas sembilan keratan straw mengandungi dadah jenis heroin seberat 1.90 g yang dipegang suspek.

"Suspek pertama disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala siasatan ke atas suspek kedua dibuat mengikut Seksyen 12 (2) akta sama," katanya.

Katanya, usaha membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar Langkawi terus diperhebatkan dari semasa ke semasa.

Disiarkan pada: December 20, 2020 @ 5:39pm
d