mutakhir

Lelaki hidap kanser maut terjun bangunan

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Tertekan kerana menghidap kanser tiroid tahap empat dipercayai punca seorang lelaki bertindak terjun dari tingkat empat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, lelaki berusia 55 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang juga petani ditemui dalam keadaan meniarap di atas tanah berhampiran lobi hospital pada 2.25 petang.

"Mangsa dipercayai terjun dari tingkat empat bangunan HTAA yang menyebabkan kecederaan di kepala, tengkuk, mulut dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Hasil siasatan lanjut mendapati tiada unsur jenayah dikesan. Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Forensik HTAA untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan laporan, mangsa dari Kampung Sri Jaya, Maran menerima rawatan dan berada di wad hospital sejak 16 Disember lalu.

Katanya, isteri mangsa memaklumkan bahawa suaminya menghidap kanser tiriod tahap empat sejak setahun lalu dan sering ke hospital untuk menjalani rawatan kemoterapi.

"Mangsa juga mengadu kepada isterinya ingin mati kerana tidak tahan dengan kesakitan di bahagian kepala," katanya.

Disiarkan pada: December 20, 2020 @ 8:12pm
d