mutakhir

Siasat ugutan bunuh Ketua Polis Johor

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Polis memandang serius kes tiga individu dikatakan anggota kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), yang didakwa mahu membunuh Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, perkara itu sedang disiasat dengan teliti oleh polis.

"Apa juga ancaman untuk membunuh seseorang adalah satu kesalahan tanpa mengira apa jua latar belakangnya.

"Kita sedang meneliti kes ugutan dan masih dalam siasatan pihak polis," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ketika ditanya adakah individu yang membuat ugutan itu lelaki sama yang mengugut ingin menyerang Bukit Aman sebelum ini, Abdul Hamid berkata, perkara itu sedang disiasat dan belum dapat dipastikan sama ada ia individu yang sama.

Harian Metro semalam melaporkan polis Johor akan bekerjasama dengan Polis Selangor untuk siasatan terperinci bagi mengenal pasti tiga individu dikatakan anggota kumpulan pengganas LTTE yang didakwa 3 anggota LTTE nak datang bunuh saya: Ayob Khan, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Ugutan itu diterima Ayob Khan dua minggu lalu menerusi panggilan telefon kepada pegawainya, memaklumkan ada tiga anggota LTTE dari Selangor akan ke Johor untuk membunuh ketua polis berkenaan.

Sebelum ini, seorang lelaki mendakwa dirinya ketua komander kumpulan pengganas, LTTE 2.0 turut mendakwa akan menyerang Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Individu terbabit yang menghantar ugutannya melalui emel kepada pihak media turut mendakwa akan menyerang Sri Lanka selepas serangan itu.

Dalam mesej berkenaan, individu terbabit turut mendakwa akan menembak mati Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Berita berkaitan:

  • 3 anggota LTTE nak datang bunuh saya: Ayob Khan
  • Buru pengganas LTTE
  • 'Siuman atau tidak kita kesan dulu' - Polis
  • Mahu tembak mati Ketua Polis Negara, serang Bukit Aman
  • Disiarkan pada: December 21, 2020 @ 10:19am
    d