mutakhir

Gantung AP syarikat babit kartel daging halal palsu - MAFI

Oleh Fahmy A Rosli

Serdang: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) tidak teragak-agak menggantung pemberian permit import syarikat (AP) yang terbabit dengan kartel daging halal palsu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pihak berkuasa harus menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera terhadap pihak yang bersekongkol dengan kartel berkenaan supaya isu sama tidak berulang lagi.

Beliau berkata, tangkapan mesti disegera kerana menyifatkan isu kartel daging halal palsu tidak wajar berlaku di negara ini kerana perlu menerusi banyak pihak antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

"Ya (gantung AP), kalau dibuktikan keterlibatan mereka. Sudah tentu tindakan akan diambil.

"Terserah kepada pihak berkuasa relevan untuk membuat tangkapan mengenai isu ini kerana merupakan satu isu yang tidak sepatutnya berlaku.

"Jadi pihak yang berwajib harus mengambil tindakan bagi membendung masalah ini yang tidak seharusnya berlaku. Ini kerana banyak agensi kerajaan terbabit tentu sekali (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan sebagainya harus sama membendung masalah ini supaya tidak lagi berulang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pertanian Digital Kebangsaan di ibu pejabat Institut Penyelidikan Pertanian dan Kemajuan Malaysia (MARDI) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut dakwaan pembabitan anggota penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dengan gerakan kartel itu, Ronald mengakui tidak tahu mengenai hal itu.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa sesiapa sahaja dari agensi atau pihak ada kaitan dengan kementerian yang bersekongkol dengan kartel terbabit akan berdepan tindakan.

Mengulas lanjut isu sama, Ronald berkata berdasarkan siasatan awal mendapati daging yang terkandung dalam konsainmen adalah untuk transhipment (pemunggahan).

Katanya, ia boleh diturun, dibuka dan dijual di pasaran negara.

"Ia bukan semestinya untuk negara ini tetapi untuk transit di Malaysia dan diekseport ke negara lain. Yang itu untuk dihantar keluar tetapi offload (diturunkan) di negara kita," katanya.

Tambahnya, MAFI mengawal pemberian lesen import daging dan keratan ayam yang diluluskan kementeriannya untuk kegunaan domestik.

Mengenai kilang atau loji pengeksport ayam dan daging di luar negara, beliau menjelaskan MAFI bersama JAKIM menjalankan audit dan pengawasan secara berskala dari segi halal.

Disiarkan pada: December 21, 2020 @ 2:56pm
d