mutakhir

Suami isteri maut dirempuh MPV hilang kawalan

Oleh BERNAMA

Kuantan: Sepasang suami isteri maut selepas kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang hilang kawalan di Kilometer (KM) 329 jalan alternatif Kuala Lumpur - Kota Baharu di Raub, kira-kira 170 km dari sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata, kejadian berlaku pada 7.50 pagi dan mangsa yang maut ialah Azizan Ismail, 60, dan Che Norzihan Mohd Nor, 51, yang berasal dari Felda Tersang, Raub.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Myvi dipandu Azizan dari Tersang menuju ke Raub dirempuh oleh kereta Perodua Alza dinaiki tiga sekeluarga dari arah bertentangan.

"Kereta Alza tersebut dikatakan tergelincir di bahu jalan menyebabkan kereta itu hilang kawalan dan merempuh kenderaan mangsa yang tidak dapat mengelak kerana jarak terlalu dekat," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kamarulzaman berkata, pemandu Alza yang juga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berusia 34 tahun dan anak perempuannya yang berusia dua tahun masing-masing dilaporkan patah kaki.

Isterinya yang bekerja sebagai jururawat dan beralamat di Kampung Jelu, Dong, Raub berusia 30 tahun tidak cedera.

Jenazah suami isteri itu dibawa ke Hospital Raub untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: December 21, 2020 @ 3:28pm
d