mutakhir

Pencarum serbu pejabat KWSP Alor Setar

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Orang ramai menyerbu pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Alor Setar, di sini, bagi mendapatkan maklumat mengenai permohonan pengeluaran i-Sinar, hari ini.

Tinjauan mendapati pencarum masih keliru untuk mengisi pendaftaran secara dalam talian, manakala ada pencarum berusia tidak tahu menggunakan aplikasi terbabit.

Pencarum, S Letchimy, 59, berkata dia terpaksa datang ke pejabat KWSP bagi memudahkan urusan untuk mendaftar permohonan mengeluarkan Akaun 1 miliknya berikutan tidak mahir melakukannya secara dalam talian.

"Saya datang untuk mendaftar sebab tak tahu isi dalam talian, tapi apabila sampai di pejabat KWSP ramai pula yang berkumpul di luar pagar untuk berurusan di kaunter.

"Mujur saya bawa anak bersama, kami diberi risalah panduan untuk mengisi permohonan i-Sinar dalam talian. Saya sangat memerlukan duit ini untuk kelangsungan hidup selepas tidak lagi bekerja akibat kanser payudara," kata ibu tunggal kepada tujuh anak itu.

Noorhayati Md Shah, 51, berkata dia menemani suaminya, Abu Bakar Dollah, 56, untuk mendaftar di kaunter kerana tidak tahu membuat permohonan i-Sinar secara dalam talian.

"Usia suami saya memang sudah boleh keluarkan simpanan Akaun 1, tapi kami berdua tak pandai isi secara dalam talian.

"Suami hanya menoreh getah dan menyara dua anak yang masih bersekolah dengan pendapatan tidak menentu kerana musim hujan sekarang," katanya yang berasal dari Padang Terap.

Sementara itu, Mariasusi Francis, 39, berkata dia sudah cuba mengisi borang melalui aplikasi i-Sinar, namun gagal.

"Saya tak tahu kenapa tak boleh isi, sebab itu saya datang sendiri untuk bertanya di kaunter, saya akan cuba ikut panduan yang diberikan terlebih dahulu.

"Walaupun wang simpanan Akaun 1 rendah, tetapi saya sangat berharap dapat mengeluarkan wang itu untuk membeli kelengkapan sekolah untuk dua anak," katanya yang berpendapatan RM300 sebulan sebagai tukang jahit.

Disiarkan pada: December 21, 2020 @ 5:44pm
d