mutakhir

2 warga emas maut, cucu cedera kemalangan

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Kulim: Pasangan suami isteri warga emas maut, manakala cucu lelaki mereka berusia empat tahun luka di kaki selepas kereta Perodua Myvi yang dinaiki mereka kemalangan di Jalan Kulim - Serdang, berhampiran Kampung Badlishah, di sini, hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku 4 petang tadi membabitkan kereta yang dinaiki tiga mangsa berkenaan dengan sebuah kereta Proton Saga FL yang dinaiki pasangan suami isteri yang bertugas sebagai anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Berikutan kemalangan itu, pasangan terbabit, Ng Mok Chong, 67, dan isterinya, Lim Seok Mooi, 62, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, siasatan awal di lokasi kemalangan mendapati kereta Perodua Myvi itu dipercayai datang dari arah Kulim menghala ke Serdang manakala kereta Proton Saga itu dari arah bertentangan.

Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian, kereta Perodua Myvi itu dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung secara berdepan dengan kereta Proton Saga FL itu.

"Penumpang belakang kereta itu iaitu isteri pemandu Perodua Myvi meninggal dunia di tempat kejadian manakala suaminya meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Kulim.

"Mayat pasangan suami isteri itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azhar berkata, pasangan warga emas itu menetap di Kampung Cina, di sini.

Beliau berkata, pasangan suami isteri yang menaiki kereta Proton Saga FL dikenali sebagai Mohd Faizol Khasim, 38, mengalami bengkak di tangan kanan dan kaki manakala isterinya, Solehah Abdul Manaf, 29, sakit pada perut.

Katanya, pasangan itu yang menetap di perumahan TUDM Kem Kelubi, Jitra sedang bercuti ketika kejadian berlaku.

"Kesemua mangsa yang cedera dirawat di Hospital Kulim.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, anggotanya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang membantu mengeluarkan penumpang belakang kereta Perodua Myvi yang tersepit.

Beliau berkata, mangsa dikeluarkan anggotanya menggunakan peralatan resque tools dan disahkan meninggal dunia oleh petugas KKM.

Disiarkan pada: December 21, 2020 @ 10:08pm
d