mutakhir

Banjir makin surut di Terengganu

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Keadaan banjir di Terengganu semakin pulih dengan jumlah mangsa kini menurun kepada 1, 218 orang berbanding 1, 267 orang pada jam 12 tengah malam tadi.

Sehingga jam 8 pagi tadi, hanya 321 keluarga masih ditempatkan di 18 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kemaman dan Dungun.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, jumlah mangsa dijangka menurun susulan cuaca yang semakin baik dan beberapa lembangan sungai utama menunjukkan trend menurun.

"Jumlah mangsa yang masih berada di PPS Kemaman ialah seramai 766 orang membabitkan 197 keluarga yang ditempatkan di tujuh PPS.

"Di Dungun, jumlah mangsa menurun kepada 452 orang daripada 124 keluarga yang ditempatkan di 11 PPS," katanya.

Sementara itu, berdasarkan laporan infobanjir.water.gov.my, hanya sebuah sungai di Terengganu yang melepasi paras bahaya iaitu Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman yang merekodkan bacaan 4.62 meter.

Manakala, dua buah sungai berada di paras waspada iaitu Sungai Dungun di Jambatan Jerangau yang mencatatkan bacaan 11.36 meter dan Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu pula 11.35 meter.

Disiarkan pada: December 22, 2020 @ 9:17am
d