mutakhir

'Tak buat apa-apa, hantar makanan sahaja'

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Kulim: Seorang lelaki ditemui bersembunyi dalam bilik dalam sebuah rumah di kawasan Hi Tech Park, di sini ketika serbuan oleh anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) kerana disyaki berkhalwat, hari ini.

Ketika dicekup jam 3.26 pagi tadi, lelaki berusia 24 tahun itu memberi alasan hanya menghantar makanan kepada pasangannya berusia 22 tahun selain membawanya keluar bersiar di sekitar Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Pegawai Penguatkuasa Agama Kulim, Anwar Sharifuddin Mat Saat berkata, berdasarkan aduan dan maklumat diterima, pihaknya dengan bantuan penduduk kawasan itu melakukan pemeriksaan di rumah berkenaan dan mendapati hanya pasangan itu berada dalam rumah itu.

Katanya, selepas mengetuk dan memberi salam, seorang wanita membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dilakukan dalam rumah berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut dalam sebuah bilik menemui lelaki terbabit bersembunyi dalam sebuah bilik di rumah itu kerana bimbang dicekup.

"Bagaimanapun, mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri menyebabkan mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar Sharifuddin berkata, pasangan itu kemudian dibawa ke balai polis untuk dibuat laporan tangkapan sebelum diambil keterangan oleh penguat kuasa agama untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau keduanya sekali," katanya.

Disiarkan pada: December 22, 2020 @ 10:57am
d