mutakhir

31 notis kesalahan naikkan harga bawang [METROTV]

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: Sebanyak 31 notis dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kepada peniaga atas kesalahan menaikkan harga bawang di premis perniagaan mereka, setakat ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan di 336 premis berikutan kenaikan harga bahan makanan itu yang hangat diperkatakan di media sosial sejak November lalu.

"Sejak 23 November lalu sehingga hari ini, 336 pemeriksaan dijalankan membabitkan harga bawang di peringkat pengedaran.

"Hasil pemeriksaan itu, sebanyak 31 notis dikeluarkan kepada peniaga yang disyaki mencatut harga bawang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika tinjauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Krismas dan lawatan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.

Rosol berkata, difahamkan kenaikan harga bawang itu berikutan kebanyakan kawasan pengeluar bawang di India sedang menghadapi bencana banjir.

Beliau berkata, pengguna boleh membuat pilihan bawang diimport dari beberapa negara lain seperti Thailand, Pakistan, Indonesia dan China.

"Namun, jika kita lihat peningkatan harga bawang import dari India turut menyebabkan kenaikan harga bawang import lain seperti bawang dari Poland.

"Kesalahan menaikkan harga bahan makanan itu akan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

"Individu yang bersalah boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya manakala bagi pemilik syarikat mereka boleh didenda sehingga RM500,000," katanya.

Sebarang aduan boleh disalurkan kepada kementerian itu melalui Portal KPDNHEP: www.kpdnhep.gov.my, pusat aduan 1-800-886-800 atau menghantar WhatsApp ke nombor 019- 2794317.

Disiarkan pada: December 22, 2020 @ 5:03pm
d