mutakhir

Lulus RM4.5 juta bina pembentung atasi banjir

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Chukai: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM4.5 juta bagi pembinaan empat pembentung untuk mengatasi masalah banjir di kawasan Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong, di sini.

Projek itu dijangka bermula Jun tahun hadapan dan mengambil masa enam bulan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, Muhyiddin berkenan meluluskan peruntukan itu bagi pembinaan saluran sepanjang 30 meter di kawasan kerap dinaiki air.

Katanya, ketika hujan lebat selama empat hari lalu, bukan hanya kawasan RMM Teluk Kalong itu dilanda banjir, malah kawasan Kemasik turut terjejas.

"Di kawasan perumahan ini sahaja, terdapat 500 rumah membabitkan lebih 2,000 penduduk dan Insha Allah projek ini dapat menyelesaikan masalah banjir yang berlaku di sini dan sekitarnya," katanya yang ditemui selepas mengiringi Perdana Menteri melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsan (SK) Bukit Mentok di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid.

Dalam pada itu, Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai berkata, fasa pertama projek tebatan banjir atau sungai tiruan berhampiran Binjai ke Tasik Buku, Kemaman akan bermula Mac 2021.

"Projek bernilai RM150 juta akan bermula Mac depan, manakala peruntukan RM150 juta lagi bagi fasa kedua dengan tender akan dikeluarkan selepas (selesai) fasa pertama.

"Jabatan Pengairan dan Saliran juga memohon peruntukan tambahan RM40 juta bagi menyelesaikan beberapa urusan pengambilan tanah untuk fasa pertama.

"Apabila siap dalam tempoh antara lima hingga ke tujuh tahun lagi, kita harap banjir tidak akan lagi melanda bandar Chukai," katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Terengganu memohon Kerajaan Persekutuan untuk menambah empat lagi pembentung bagi mengatasi masalah banjir di kawasan RMM Teluk Kalong yang sudah berlarutan sejak tujuh tahun lalu.

Disiarkan pada: December 22, 2020 @ 5:44pm
d